BERITA MINGGU
Bagaimanakah pembahagian manfaat takaful bagi tuntutan membabitkan penamaan hibah dan wasiat?
Setiap manfaat takaful yang diperoperoleh akan dilihat daripada instrumen yang diguna pakai oleh peserta, sama ada penamaan hibah atau wasiat. Jika peserta mengambil pelan takaful dan kontrak yang mengandungi elemen hibah, maka manfaat itu akan dibahagikan mengikut harta hibah. Jika kontrak itu mengandungi elemen wasiat maka manfaat takaful dibahagikan mengikut harta wasiat dan hendaklah diserahkan kepada ahli keluarga mengikut kiraan faraid.
Mengikut pengamalan takaful, jika peserta membuat penamaan hibah bersyarat maka manfaat harta dimiliki waris sepenuhnya dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka. Tetapi jika penamaan dibuat adalah wasiat maka harta itu hendaklah diagihkan mengikut kiraan faraid yang telah ditetapkan. Pun begitu, penama yang dilantik hanyalah sebagai pemegang amanah dan tidak berhak sepenuhnya terhadap manfaat takaful itu. Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama, digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya.
Kedua, menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya daripada orang lain. Ketiga, membayar hutang si mati sama ada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati jika ada berwasiat. Keempat, membahagikan harta pusaka kepada waris. Kesimpulannya, setiap kontrak yang dipilih oleh peserta hendaklah difahami terlebih dahulu bagi mengelakkan permasalahan akan datang.
Kesan daripada penggunaan elemen wasiat dan hibah menjadikan sama ada penama adalah sepenuhnya berhak atau tidak terhadap manfaat itu. Ilmu pengetahuan berkenaan hendaklah dipersiapkan bagi mengelak perselisihan antara ahli keluarga disebabkan oleh harta. Disarankan supaya berwasiat ketika hidup kerana amatlah malang bagi mereka yang tidak berbuat demikian berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: "Orang yang malang adalah orang yang tidak sempat berwasiat."
Jabatan Pematuhan Syariah
0 komen:
Post a Comment